Ahlan Wa Sahlan

Monday, January 31, 2011

Hati Bersuara


Saat mentari menguak kegelapan malam
Saat pelangi muncul setelah gerimis
Saat tawa datang setelah keresahan
Kau dan aku masih di sini.

Damai biru lazuardi itu,
Tenang bumi hijau para anbia,
Embun menitis di akhir waktu,
Kuntum terakhir layu direntap gelora dusta,
Kau dan aku masih di sini.

Merentas butiran pasiran pantai,
Deru ombak melambai sepi,
Sesepi Sang Penanti yang tiada berkesudahan,
Semesra angin semilir meraup wajah dan airmata ini.

Sesetia bintang di kepulan gemawan hitam,
Sesetia ombak merobek pasiran pantai,
Sesetia mentari terbenam di ufuk barat,
Kau dan aku masih di sini.

Jangan pernah ditangisi,
Jangan berterusan diragui,
Untaian pengharapan doa,
Segagah tahajud rindu,
Agar kita SAHABAT selamanya.


*Dedikasi khas buat pemilik cintaku selepas Allah, Rasulullah
 SAW  & keluargaku. Moga kita akan terus bersama dalam medan
 perjuangan ini dalam mencari erti makna cinta sebenar & dalam
 memaknakan sebuah kehidupan sebagai khalifah di muka bumiNYA.

Kadang kala

Kadang kala kita perlu menangis untuk menghargai saat bahagia, & kadang kala kita perlu bergembira bagi setitis air mata.

Sunday, January 30, 2011

Tak kenal, maka ....

Tak kenal, maka ta'aruf (^^,)
Aku anak pertama daripada dua adik-beradik. Alhamdulillah, setelah mak mengandungkan selama 9 bulan, aku dilahirkan pada 19 Mac 1990 di Hospital Sri Aman. Bapa mengazankan, maka bermulalah perjalanan diri ini sebagai khalifah di muka bumi Allah. 
Sejuta kesyukuran dipanjatkan kerana aku hidup dalam suasana keluarga yang penyayang, sentiasa memberikan semangat dan menitikberatkan perihal pelajaran dan agama. Aku mula mengikuti mak ke sekolah tadikanya sejak berumur 3 tahun memandangkan tiada orang yang dapat menjaga aku pada waktu itu dan juga tanggungjawab bapa sebagai atendan kesihatan yang jadual bertugasnya tidak menentu. Pengalaman yang dilalui pada waktu itu tidak akan dapat aku lupakan. Adikku, Nurr Shaffique lahir pada 10 Januari 1995, melengkapkan lagi kehidupan keluargaku. (Walaupun pada mulanya aku sentiasa cemburukan adikku..) 
Sejarah awal pendidikanku agak menarik. Ini kerana aku bertukar sebanyak 3 buah sekolah tadika! Sekolah pertama Sedidik, sekolah kedua Tabika Kemas Balai Polis dan sekolah terakhirku adalah Tabika Perpaduan Kampung Hulu. Kenangan yang paling tidak dapat aku lupakan pada waktu ini adalah, bapaku akan menyanggul @ mengikat rambutku sebelum aku ke sekolah. So sweet!
Pendidikan rendahku bermula di SK Abang Aing. Pada waktu inilah bakatku mula dicungkil. Aku mula mengikuti pertandingan mendeklamasikan sajak, pidato, bercerita kisah Al-Quran. Sukan pula aku aktif dalam bola jaring, sama ada jadi GS @ GA (Jangan main-main, hehehe). Pencapaian terbaikku adalah menjadi Naib Johan Peringkat Negeri Sarawak untuk Pertandingan Bercerita Kisah Al-Quran pada tahun 1999 dan 2002. Daripada segi akademik pula, aku telah mendapat 4A (Matematik, Bahasa Inggeris, BM Pemahaman & BM Penulisan) dan 1B (Sains).
Pendidikan menengahku pula di SMK Simanggang. Bakat yang ada ku teruskan lagi, dan alhmadulillah akhirnya aku menjadi Johan Peringkat Negeri Sarawak dalam Pertandingan Syarahan Agama pada tahun 2006 dan melayakkan aku ke Peringkat Kebangsaan di Kelantan. Dalam PMR aku telah mendapat 7A1B dan SPM pula 5A1 5B4.
Syukran jazilan kepada mak dan bapa atas usaha gigih dan penat lelah dalam menyekolahkan aku demi melihat anak mereka ini menjadi orang yang terpelajar. Juga atas sokongan setiap kali aku mengikuti apa-apa juga pertandingan, mereka sentiasa cuba untuk bersamaku. Juga kepada guru-guru atas didikan mereka selama ini. Jasa kalian tidak dapat ku lupakan, moga sentiasa dalam rahmat Allah SWT.
Aku teruskan lagi perjuangan menuntut ilmu, dan kini, aku berada di Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak di Miri, mengambil Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), major dalam bidang Matematik dan minor dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Bahasa Inggeris. 
Inilah pilihanku, menjadi seorang pendidik. Bukan satu tugas yang mudah. Bukan sahaja mengajar tulis, baca dan mengira. Jiwa seorang pendidik itu harusku hayati dan bawa bersama demi keberkatan ilmu itu sendiri.
Hanya dengan ilmu dapat membentuk keperibadian peribadi yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan menyintai Allah SWT dan rasulNYA. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Mujaadalah ayat ke-11 yang bermaksud, "Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan dari kalangan kamu beberapa darjat."
Buat mak dan bapa, doa dan restu kalian amatku perlukan dalam melayari kehidupan yang penuh cabaran ini. Doaku agar kalian dilanjutkan usia, diberikan kesihatan yang baik dan aku masih punya ruang waktu untukku tunjukkan segulung ijazah dan dan membalas jasa kalian, walau aku tahu jasa mak dan bapa tidak mampu aku bayar walau bergunung-gunung wang ringgit. Buat sahabat-sahabat, syukran jazilan atas sokongan, kritikan dan doa daripada kalian. Moga kita terus bersahabat keranaNYA. Buat Along, bimbinglah adikmu ini dalam bersama mencari redhaNYA. Segala bakat yang ada pada diri ini hanyalah pinjaman daripada Allah SWT, akan ku gunakan sebaiknya.

Moga hari ini lebih baik dari hari semalam baik aku menjadi seorang anak, seorang sahabat, seorang pelajar, dan yang paling penting sebagai khalifah di muka bumiMU ini Ya Allah.
Wallahualam..


                                       Keluargaku (^^,)
                                  acai, mak, bapa & aku

Buat pertama kalinya..

Aku mulakan bicara kasih ini dengan lafaz mulia, "Bismillahirahmanirahim..."
Sejuta kesyukuran ku panjatkan ke hadrat Allah SWT atas nikmat Iman dan Islam, atas kesempurnaan pancaindera juga bagi setiap deru nafas yang berdenyut di muka bumiNYA. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, moga kita dikumpulkan bersama-sama baginda dan orang yang mengasihi baginda di akhirat kelak.

Alhamdulillah, setelah sekian lama, aku beroleh kekuatan untuk membuat blog ini. Syukran jazilan buat Along atas dorongannya untuk membuat blog ini. (^^,) Mungkin selama ini aku di"momok"kan dengan cerita-cerita negatif tentang  ber"blogging". Juga terlampau memikirkan mampukah perkara yang dikongsikan dalam blog ini memberi perkongsian yang ilmiah, baik dari pengisian rohani mahupun inteleknya? Namun apa yang penting adalah sejauh mana kita menggunakan teknologi dan kemudahan yang diciptakan ke arah kebaikan. Hatta pisau yang digunakan untuk memotong bawang misalannya, boleh digunakan untuk membunuh orang andai tidak digunakan mengikut kewarasan akal  dan hati yang sepatutnya.

Moga perkongsian ilmu dan pengalaman dalam blog ini dapat membantu diri aku terutamanya, juga kepada pembaca blog ini dalam menjadi seorang anak, da'ie, mad'u, sahabat dan khalifah yang terbaik dalam memakmurkan seluruh isi alam ini. InsyaALLAH..

Sekian sahaja buat masa ini, moga berjumpa lagi pada entri yang seterusnya..
Wassalam wbt..