Ahlan Wa Sahlan

Sunday, July 31, 2011

Kelebihan Ramadhan al-Mubarak


Antara kelebihan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain adalah:
1.     Ramadhan adalah penghulu bagi semua bulan
Sebagimana yang diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam al-Kabir yang bermaksud:
“Penghulu bulan ialah bulan Ramadhan dan penghulu hari ialah hari Jumaat”

2.    Dibuka pintu syurga
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud:
“Apabila datang Ramadhan, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu.”

3.    Diampunkan dosa sehingga Ramadhan yang akan datang
Sebagaimana hadis riwayat Muslim yang dilaporkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:
“Solat fardhu lima waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadhan kepada Ramadha, akan diampunkan di antara keduanya sekiranya seseorang itu melakukan dosa-dosa besar.”

4.    Ganjaran daripada Allah SWT
Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah Rasulullah SAW berkata, yang bermaksud:
Allah berkata: “Setiap amalan anak Adam adalah baginya melainkan puasa dan Aku akan membalasnya. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan berjumpa Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wnagi di sisi Allah berbanding haruman kasturi.”

5.    Diampunkan dosa terdahulu
Hadis ini diriwayatkan oleh sebilangan ahli hadis termasuk Bukhari dan Muslim, yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan ikhlas (kepada Allah), diampunkan dosanya (yang terdahulu)
6.    Diturunkan Al-Quran
Nabi Muhammad berkata: “Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada awal malam bulan Ramadhan dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadhan dan diturunkan Injil pada 13 Ramadhan dan diturunkan Zabur pada 18 Ramadhan dan diturunkan Al-Quran pada 14 Ramadhan.
(al-Mu’jam al-Kabi)

7.    Bulan keberkatan
Ubadah bin Samit melaporkan Rasulullah berkata mengenai hadirnya bulan Ramadhan, yang bermaksud:
“Datang pada kalian bulan Ramadhan bulan berkat, di dalamnya Allah membuka untuk kalian kebaikan-kebaikan, Allah menurunkan rahmatnya, menghapuskan dosa-dosa, mengkabulkan doa, Allah memperhatikan usaha-usaha kalian (berlumba-lumba dalam kebaikan) dan Allah membanggakanmu di hadapan para malaikat, Allah menampakkan daripada diri kalian kebaikan-kebaikan kerana sesungguhnya diharamkan (sesuatu yang halal di bulan Ramadhan) di dalamnya terdapat rahmat Allah Azzawajalla.”
(Musnad al-Syamiyin al-Tabrani)

8.    Malam Lailatulqadar
Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi berkata, yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan redha Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu dan sesiapa yang Qiamullail pada malam Lailatulqadar dengan penuh iman dan mengharapkan redha Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.
(Riwayat Bukhari)

9.    Dibebaskan daripada api neraka
“Sesungguhnya bagi Allah hamba-hamba yang bebas (daripada api neraka) setiap berbuka, dan demikian itu pada setiap malam.”
(Riwayat Ahmad)

Ayuh, kita sama-sama top-upkan seluruh aspek kehidupan kita dalam bulan yang mulia ini!

Akademi Ramadhan datang lagi


Ahlan wa sahlan ya Ramadhan..
1.    Pengertian puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri dari sesuatu, manakala pengertian dari segi hukum syarak bermaksud menahan diri daripada perkara-perkara tentu oleh orang-orang tertentu pada waktu-waktu yang tertentu dengan beberapa syarat.

2.    Syarat wajib puasa adalah: berakal, akil baligh (cukup umur) dan kuat atau mampu mengerjakan puasa


3.    Syarat sah puasa pula adalah: Islam, mumaiyiz (dapat membezakan baik dan buruk), suci daripada haid dan nifas dan dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.

4.    Antara rukun puasa adalah berniat pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan hendaklah berniat dalam hati bagi mengerjakan puasa pada setiap hari, dan menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-183 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.

juga Allah SWT telah merakamkan dalam surah al-Baqarah ayat ke-185 yang bermaksud:
Bulan Ramadhan adalah (bulan) di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu, barang siapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah.

Ketahuilah bahawa puasa ini juga menjadi perisai dan penghalang api neraka. Abu Said al-Khudri melaporkan, Rasulullah SAW berkata:
“Tidak bagi hamba yang berpuasa satu hari demi mengharapkan keredhaanNYA, kecuali Allah menjauhkannya dengan puasa itu daripada api neraka sejarak tujuh puluh tahun perjalanan.
(Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

Allahu, jum sama-sama perbetulkan niat, melakukan sebanyak mana ibadat dan amal kebajikan dalam bulan yang penuh barakah ini. Setelah berakhir minggu suai kenal iaitu bulan Syaaban, kini pengajian kita akan bermula di Akademi Ramadhan! Jika diizinkan Allah, kita akan mendapat anugerah khas iaitu Anugerah Lailatulqadar iaitu lebih baik daripada seribu bulan. InsyaAllah, work for it! Moga diri terus diberi ketabahan dan kekuatan jiwa di bulan mulia ini. Amin ya robb.

Rasulullah SAW berkata:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang lalu.” (Bukhari dan Muslim)

Updating..


Bismillahirahmanirahim
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Segala puji dan puja selayaknya untuk Pencipta sekalian alam. Alhamdulillah, syukur ya Allah atas nikmat Iman dan nikmat Islam, nikmat yang paling agung sebagai hambaMU. Kesyukuran juga ku panjatkan atas nikmat keluarga, teman dan sahabat di sisi. 

Ampuni aku ya Allah kerana adakalanya aku lalai dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifahMU, juga sebagai anak, pelajar dan sahabat yang baik. Moga masih diberi ruang untuk memperbaiki kelompangan diri yang hina ini.

Agak lama juga blog ini tidak ku kunjungi lantaran kesibukan urusan yang harus ku turuti kerana ia adalah sebahagian daripada tuntutan tanggungjawabku.
Banyak juga aktiviti yang aku jalani sepanjang tempoh sebulan lebih menjejakkan kaki ke semester baru ini. Keputusan peperiksaan semester lalu tidaklah terlalu mengecewakan mahupun memuaskan hati. Namun aku percaya bahawa aku telah mencuba yang sebaiknya. Aku akan lebih melipatgandakan usaha untuk semester yang baru, juga agar tidak terus terlena dalam comfort zone yang aku jalani sekarang. Namun secara jujurnya, aku rasa agak “kosong” dan “kehilangan”, ku cuba cari kekuatan itu, namun masih belum berjaya. Aku mungkin kelihatan gembira pada luarannya, namun masih berperang dengan gelodak di jiwa. Ya Allah ampunilah segala kekhilafanku, bantulah dan pandulah aku menemui kekuatan dan ketenangan itu.  Hingga kini, persoalan apa, mengapa dan bagaimana itu masih belum ku temui.

Di ruangan ini, ku cuba kongsikan antara program dan aktiviti yang aku telah ikuti. Antaranya adalah:

1.   Keindahan BersamaMU
Program sentuhan hati untuk mengingat kembali hubungan kepada Allah, Rasul, ibu bapa, guru dan sahabat. Aku telah diberi kesempatan untuk menjadi moderator bersama seorang teman. Masih banyak ruang yang harus ku perbaiki. Untuk menyeru orang ke arah kebaikan, diri sendiri juga harus diperbaiki dan disustainkan agar segala ajakan tidak seperti mencurah air ke daun keladi dan tidak meninggalkan kesan kepada hati-hati orang lain. Action should talk louder than words. Ya Allah, peganglah hati-hati kami untuk sentiasa istiqamah dalam jalanMU.

2.   Syahadatul Haq
Kita sememangnya mudah untuk melafazkan syahadah. Kita tahu maknanya, namun antara sedar dan alpa, adakah kita sedar bahawa kita punya tanggungjawab yang berat untuk menyebarkan syahadah itu kepada lingkungan masyarakat di luar? Para sahabat telah menyaksikan bahawa Nabi Muhammad SAW telah melaksanakan tanggungjawab baginda, begitu juga kepada para tabi tabiin yang menjadi saksi kepada para sahabat; begitu juga sebaliknya. Sekarang telah sampai kepada kita? Siapa yang mampu menjadi saksi kepada kita andai kita tidak menyebarkan tanggungjawab kepada yang lain? Mampukah untuk kita jawab depan Allah nanti? Apa hujah yang kita jadikan sebagai hujah balas? Allahu.. Sebaik aku mendengar tentang pengisian ini, air mata aku bergenangan, bahu terasa berat, risau dan pelbagai lagi perasaan yang tidak mampu untuk ditafsirkan dengan kata-kata.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-143 yang bermaksud:
Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) “umat pertengahan” agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu.

Moga dengan adanya teman di sisi, mampu untuk terus saling menyokong diri ini. Jika bukan aku, siapa; jika bukan sekarang, bila lagi?? Antara program follow-up yang kami jalani adalah bagaimana kami diberikan masa lebih kurang setengah jam, mencari orang di sekitar Lapangan Terbang Miri dan cuba untuk mendengar pandangan mereka tentang satu isu yang kami pilih dan kemudiannya kami memberikan sedikit pengisian tentang isu terbabit. Ada kepuasan di sana walaupun pada mulanya agak gugup apabila diberi tugasan on the spot. Alhamdulillah, moga terus diberi sinar kefahaman Islam yang sebenar buat diri kita juga sinar hidayah buat diri orang yang masih mencarinya di luar sana.

Firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat ke-7 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.

3.   Konvensyen Guru-Guru Muda Kebangsaan 2011 (KOGUM)
Konvensyen yang julung-julung kali dianjurkan ini telah diadakan di UiTM Shah Alam pada 7-10 Julai 2011. Guru-guru pelatih dari 27 Institut Pendidikan Guru telah dikumpulkan di sini. Perasaan aku agak terharu apabila melihat sebanyak hampir 1000 bakal guru berkumpul di sini. Allahu, inilah jurutera manusia dan doktor ummah. Sekali lagi aku bermohon agar kami semua para murabbi dan murabbiah ini diberi kefahaman Islam, dalam menjadikan pendidikan sebagai satu medium menyebarkan Islam. Aku juga gembira dan bersyukur kerana dapat berjumpa dengan sisters dari IPG lain. Pertemuan yang singkat namun cukup bermakna. Yakinlah bahawa dalam menegakkan deen Allah ini kita tidak pernah bersendirian, ada teman yang mempunyai fikrah yang sama dengan kita untuk melihat Islam kembali gemilang namun wasilah yang berbeza bukanlah jadi pemisah antara kita hendaknya. 
Ladies of IPGKS

Team of IPGKS


Ukhuwwah Fillah


Firman Allah SWT dakam surah al-Hujurat ayat ke-13 yang bermaksud:
Wahai manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.

Kesempatan untuk berjumpa dengan pemimpin utama negara Malaysia juga antara kenangan yang tidak dapat dilupakan. Tugas memimpin bukanlah satu tugas yang mudah dan golongan inilah antara tujuh golongan yang akan diuji oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.

Sekecil-kecil pemimpin adalah kita menjadi pemimpin kepada diri kita sendiri.
Namun wajarkah untuk dipolitikkan semua perkara dalam kehidupan kita? Untuk membentuk ustaziyatul alam, hendaklah bermula dari pembentukan individu muslim, diikuti baitul muslim, masyarakat muslim, kerajaan islam, daulah islam, empayar islam dan yang terakhir adalah ustaziyatul islam. Sebelum menubuhkan negara Madinah, Rasulullah SAW telah membentuk keperibadian para sahabat terlebih dahulu. Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali, Saad bin Abi Waqas, antara sebilangan para sahabat yang hebat hasil dari tarbiyah daripada Rasulullah SAW. Subhanallah!! Contohilah tauladan unggul kekasih Allah ini daripada semua aspek kehidupan kita.

Aku bersyukur juga atas peluang yang diberikan oleh Allah SWT ini kerana aku dapat meluangkan sedikit masa bersama seorang sahabat yang telah menghulurkan huluran pertama ketika zaman jahiliahku. Dengan izin Allah SWT yang maha hebat aturannya, inilah aku sekarang. Kesyukuran padamu ya Allah atas hidayahMU itu. Sahabat inilah yang pernah menjaga aku ketika aku sakit, memberikan nasihat dan bimbingan yang tidak putus. Namun dek kerana kekangan masa dan beban tanggungjawab yang makin bertambah, hubungan kami agak “jauh seketika”. Kini sahabatku ini akan menamatkan pengajiannya hujung tahun ini, pasti aku rindukannya. Dalam persahabatan juga ada pasang surutnya. Moga sahabatku ini sentiasa dalam lindungan Allah SWT, diberikan pasangan dan zuriat yang baik dan tetap teguh dalam menyumbangkan idea dan keringat di jalan Allah ini. Uhibbuki fillah ya ukhti. 
Kak Jijie & me :)


4.   Bina Insan Guru (BIG) PISMP Ambilan Januari 2010
Kami telah berkhemah di padang berhadapan SK Selanyau selama 3 hari 2 malam, iaitu dari 22-24 Julai 2011 Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan setelah sekian lama tidak tidur beralaskan rumput dan berbumbungkan langit dengan gemerlapan bintang. Aku terasa dekat sekali dengan alam ciptaan Allah SWT, namun jiwa itu masih belum aku temui. Apa yang telah berlaku kepada aku sebenarnya? Allahu!!
Keluarga angkat di sini amat baik. Moga diberi kesempatan untuk berjumpa mereka lagi. Warga emas di sini masih sihat dan bertenaga. Anak-anak di sini juga berpendidikan tinggi. Sebab itu jangan sesekali dipandang rendah kepada mereka yang tinggal di pedalaman, kerana yang penting adalah kesedaran mereka untuk mengubah destinasi kehidupan mereka sebagai seorang yang berilmu dan bermanfaat kepada orang lain.

Balai Raya Kampung Selanyau  

SK Kampung Selanyau
Baju BIG BATCH PISMP Ambilan Januari 2010
Ole-ole daripada keluarga angkat
Keluarga angkat
Mbekkk ^=^

Our camp site

Siap dah khemah kmk org :)

Tolong-menolong
Bidadari syurga hendaknya, amin :)

M.U = Muslimah United

5.   Bina Insan Guru (BIG) PPRMT4
Pengajian kami telah sepakat untuk membuat Khidmat Pendidikan di SK Lambir pada 26 Julai 2011. Sasaran kami adalah murid tahun 5 di sekolah tersebut. Tahniah buat sahabat sepengajian yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini. Aku juga telah diberi peluang untuk menjadi moderator untuk slot motivasi selama 1 jam 15 minit. Antara penekanan yang aku sentuh dalam slot ini adalah bagaimana menjadi pelajar cemerlang, kepentingan sahabat dan juga berbakti kepada ibu bapa. Aku lihat sebilangan besar murid dan sahabat-sahabat aku pun menangis bagi slot berbakti kepada ibu bapa, namun tangisan itu bukanlah boleh dijadikan kayu ukur yang konkrit bagi kejayaan slot yang aku kendalikan. Semuanya ku serahkan kepada Allah, pemilik hati-hati kita semua. 
Ya Allah, peliharalah anak-anak ini di bawah lembayung rahmat kasihMU

Si comel :)

SK Lambir, masih dalam pembinan bangunan baru

Subhanallah, mentari pagi menjengah

Itulah antara serba sedikit program yang telah aku lalui sejak belakangan ini. Secara fizikalnya memang penat, namun apa yang membimbangkan aku adalah penat dari segi emosi. Ramadhan hampir tiba beberapa hari lagi. Namun aku di sini masih terkapai-kapai untuk berpijak. Mungkin aku perlukan masa untuk bersendirian, muhasabah diri. Belajar dan praktikkan untuk jadi lebih merelakan dan berlapang dada.
Ya Allah, jadikanlah aku hamba yang sentiasa redha dengan apa yang Engkau telah rencanakan buat aku, namun jangan Engkau bebani aku dengan sesuatu perkara yang tidak mampu aku pikul. Kembalikan semangat juangku ya Allah, peganglah hati ini. Limpahilah dengan kasih sayang, rahmat serta hidayah petunjukMu. Sungguh aku hambaMu yang lemah, pengharapan dan rintihanku hanya ku sandarkan padaMu ya Rahman ya Rahim. Andai perpisahan ini adalah yang terbaik, aku redha. Ternyata Engkau punya perancangan yang terbaik bagi persahabatan kami ini.

~Jiwa-jiwa kedosaan~