Ahlan Wa Sahlan

Tuesday, August 23, 2011

Aku dan Ramadhan


Hari ini tanggal 23 Ogos 2011 bersamaan 23 Ramadhan 1432H, Ramadhan Kareem kini hampir ke penghujungnya.

Alhamdulillah segala puji dan kesyukuran dipanjatkan selayaknya kepada pencipta yang agung, Allah SWT atas nikmat usia ini dan nikmat kesihatan dalam melewati Ramadhan pada tahun ini. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, moga kita mendapat berkat atas selawat yang dilafazkan untuk baginda.

Aku bukanlah orang yang hebat dalam berkata-kata. Segala bait-bait penulisan ini masih punya banyak kekurangan. Mohon ditegur segala kekurangan agar mampu ku jadikan penulisan ini sebagai satu medium dakwah kepada diri dan orang di sekelilingku. InsyaAllah.

Dalam usia yang menginjak 21 tahun ini, pelbagai dugaan yang datang melanda. Pelbagai gelojak perasaan yang hadir. Kadang-kadang aku tidak mampu mengawalnya. Semua ini satu proses yang harus ku lalui dalam mematangkan kehidupan aku sebagai seorang anak, teman, pelajar, sahabat, mad’u dan juga da’ie. Syukran jazilan buat teman yang sentiasa bersabar dengan diriku, yang tidak jemu memberikan nasihat. Uhibbuki fillah.

Bagaimana check list kita untuk Ramadhan tahun ini: Solat di awal waktu? Usrah? Qiam? Sedekah? Tarawikh? Urusan disiapkan on time? Tadarus? Moga kelelahan pada bulan Ramadhan ini tidak dijadikan alasan bagi kita sebagai seorang Muslim untuk tidak bersemangat dan menyebabkan  prestasi urusan seharian kita menurun.

Dari Ummu Mukminin Aisyah R.A, Nabi Muhammad SAW  pernah bersabda: "Adalah Rasululluh SAW apabila masuk (tanggal) sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW bersedih dan bersiap-siap menghidupkan (beramal) pada malam hari. (Riwayat Mutafaqun Alaih)

Nabi Muhammad SAW, Nabi agung yang dijanjikan syurga sendiri oleh Allah SWT, berusaha untuk mencari malam ini, apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang serba kekurangan. Ayuh, pada Ramadhan yang hampir melabuhkan tirainya ini, gigihkan diri dalam mencari malam Lailatul Qadar, malam yang terbaik daripada 1000 bulan. Munajat dan pengharapan pada khalik yang agung.

Doaku:
Ya Allahu Ya Salam, kau lanjutkan usia kedua ibu bapaku, berikan mereka kesihatan yang baik dalam mencari rezeki membesarkan kami adik-beradik, moga kefahaman Islam itu akan bersinar juga dalam keluarga kami.

Ya Allah, moga aku tetap istiqamah dan tsabat dalam medan dakwah ini. Ya Allahu Ya Aliim, berikanlah aku kefahaman dan hafalan para nabi dalam menimba lautan ilmuMU untuk menuju syurgaMu yang tertinggi. Ya Rahman, walau ku tak layak dan hanya mendambakannya, sungguh aku berusaha ke arah syurga FirdausMu. Ya Allahu Ya Fatah, jangan kau bebani aku dengan sesuatu yang tidak mampu aku pikul.

Ya Allahu Ya Rahman, kurniakan daku rasa cinta dan kasihMu untuk ku santuni dan kongsi bersama mereka di luar sana. Janganlah resah rinduku pada manusia melebihi rinduku padaMu.

Ya Allahu Ya Rahim, pelihara kasih kami ini dalam rahmatMu. Moga nanti mereka juga akan fahami kasih kami. Jernihkanlah segala kekeruhan, tautkan hati kami walau seringkali berjauhan, doa kami sentiasa mengiringi.

Ya Allahu Ya Ghaffar, ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa adikku, dosa temanku, dosa ahli keluargaku, dosa guru-guruku, dosa sahabat-sahabatku serta dosa orang-orang yang kusayangi. SyurgaMu yang ditagih namun amal tidak selayaknya ke sana, oleh itu berikanlah ku kekuatan dan rahmatMu.

Ya Allahu Ya Samii’, dengarkanlah rayuan hambaMu ini. Moga aku sentiasa berlapang dada dengan apa yang Engkau telah takdirkan buatku, moga kesabaran dan kasih ibunda Khadijah mampu ku jadikan teladan, kecerdikan Aisyah mampu ku warisi. Sampaikanlah hajatku bersama orang yang ku sayangi untuk ke Baitullah dan bumi anbia Palestin. Perkenankanlah permintaan hambaMu ini Ya Allah, perkenankanlah Ya Allah. Hanya kepadaMu tempat ku bergantung harap dan pengharapan ku sandarkan padaMu. Amin yarabbal alamin







Monday, August 1, 2011

Love Just The Way You Are, Muslimah | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Love Just The Way You Are, Muslimah | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Doa Harian


Firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat ke-60 yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.”

InsyaAllah, di sini dikongsikan bersama doa harian pada bulan Ramadhan. 

Doa hari pertama:
“Ya Allah, jadikanlah puasaku sebagai puasa orang yang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku sebagai ibadah orang-orang yang benar-benar melakukan ibadah malam. Dan jagalah aku daripada tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku. Wahai Tuhan sekalian alam, ampunilah aku, wahai Yang Maha Pengampun para pembuat dosa.

Doa hari kedua:
“Ya Allah, dekatkanlah aku kepada keredhaanMu dan jauhkanlah aku daripada kemurkaanMu serta alasanMu. Berikanlah aku kemampuan bagi membaca ayat-ayatMu dengan rahmatMu, Wahai Maha Pengasih daripada semua pengasih.”

Doa hari ketiga:
“Ya Allah, berikanlah aku rezeki akal dan kewaspadaan, dan jauhkanlah aku daripada kebodohan dan kesesatan. Sediakanlah bahagian untukku daripada segala kebaikan yang Engkau turunkan, demi kemurahanMu, wahai zat Yang Maha Dermawan daripada semua dermawan.”

Doa hari keempat:
“Ya Allah, berikanlah kekuatan kepadaku bagi menegakkan perintahMu dan kurniakan kepadaku nikmat berzikir mengingatiMu. Berikan kepadaku kekuatan untuk menunaikan syukur kepadaMu dengan kemuliaanMu. Dan jagalah aku dengan penjagaanMu dan perlindunganMu, wahai zat Yang Maha Melihat.”

Doa hari kelima:
“Ya Allah, jadikan aku antara orang yang memohon keampunan, dan jadikan aku sebagai hambaMu yang soleh dan setia serta jadikanlah aku antara auliyaMu yang dekat di sisiMu, dengan kelembutanMu, wahai zat Yang Maha Pengasih antara semua pengasih.”

Doa hari keenam:
“Ya Allah, janganlah Engkau hinakan aku kerana perbuatan maksiat terhadapMu dan janganlah Engkau pukul aku dengan cambuk balasanMu. Jauhkanlah aku daripada hal-hal yang dapat menyebabkan kemurkaanMu, dengan anugerah dan bantuanMu, wahai puncak keinginan orang yang berkeinginan.”
Doa hari ketujuh:
“Ya Allah, bantulah aku untuk melaksanakan puasanya dan ibadah malamnya. Jauhkanlah aku daripada kelalaian dan dosa-dosanya. Dan berikan aku zikir berupa zikir mengingatMu secara berkesinambungan, dengan taufikMu, wahai pemberi petunjuk orang yang sesat.”

Doa hari kelapan:
“Ya Allah berikanlah aku rezeki berupa kasih sayang terhadap anak-anak yatim dan pemberian makan, serta penyebaran salam, dan pergaulan dengan orang mulia, dengan kemuliaanMu, wahai tempat berlindung bagi orang yang berharap.”

Doa hari kesembilan:
“Ya Allah, sediakan untukku sebahagian daripada rahmatMu yang luas, dan berikanlah aku petunjuk kepada ajaran-ajaranMu yang terang, dan bimbinglah aku menuju kepada kerelaanMu yang penuh dengan kecintaanMu, wahai harapan orang yang rindu.”

Doa hari kesepuluh:
“Ya Allah, jadikan aku antara orang yang bertawakal kepadaMu, dan jadikan aku antara orang yang menang di sisiMu, dan jadikan aku antara orang yang dekat kepadaMu dengan ihsanMu, wahai tujuan orang yang memohon.”