Ahlan Wa Sahlan

Thursday, September 15, 2011

Di Ambang Rindu


Di pagi yang kelam,
Ku tersedar dalam cahaya,
Lantas memori indah mengimbau,
Disaat itu,
Rindu kian memuncak,
Pada insan bernama kekasih.
Ya Allah...
Jangan jadikan kerinduan ini satu kelalaian,
Jangan jadikan kerinduan ini satu kealpaan,
Jangan jadikan kerinduan ini...
Meragut kerinduan utama padaMu dan ar-Rasul.
Sesungguhnya Ya Rahman...
Engkau mengetahui hati-hati hambaMu yang merindu,
Merindu pada insan yang tidak pasti,
Namun dia adalah harapan,
Kerana kami pernah mengukir janji,
Menaruh rasa rindu kami,
Menahan rasa rindu kini,
Yang ada hanya rindu padaMu, Sang Pencipta rindu,
Hingga tiba saatnya,
Rindu yang halal itu milik kami...
Maka Ya Rahman...
Teguhkan hati dan jiwa kami yang sedang merindu,
Jangan biarkan rindu itu mekar dan terus berbunga,
Mematuk dan terus menular bisanya,
Hingga bisa menjadi nanah merbahaya,
Dibuai angan dan mimpi yang tidak berkesudahan,
Kerana,
Semuanya tiada erti tanpa redhaMu,
Ya Rabbi..



Allahu Ya Rahman, aku merindui temanku di sana. Allahu Ya Rahim, moga kami dapat melalui liku-liku dalam membina ukhuwwah dalam redhaMu. Bersamanya kami menyemai kasih di perdu cintaMu 

Saturday, September 10, 2011

Petikan Kata Penyejuk Hati


Berikut antara kata-kata di dalam buku Bidadari Bumi yang ingin ku kongsikan bersama.

“Doamu untuk sesama adalah hadiah terindah yang dapat kau berikan padanya”

“Allah, Tuhanku akan selalu memberiku sesuai dengan niatku.” Hingga tatkala kudapati kesalahan dalam sesuatu, kutahu ada yang salah pula dalam niatku.

“Ya Allah, karuniai aku secuit cintanya, biar kurasa kelazatan munajat dan doa. Ya Allah, berikan aku sejemput zuhudnya, agar aku tak rakus pada dunia. Ya Allah, berikan aku setetes air matanya, hingga cair gunungan dosa dalam dada.”

“Wahai.. Menemukanmu adalah semburat fajar. Kala pekat malam kukira tak kan usai. Wahai.. Mendapatimu adalah guyuran hujan. Kala kebun jiwa kurasa mengering perlahan. Maka Wahai.. Kumohon jangan berpaling. Sebab ku pinta engkau jadi cahaya. Hingga tak sesat aku mengejar langkah. Tuk selusuri jalan gelap menuju-Nya. Atau kuharap engkau membentang sayap. Mengantar aku ke puncak surga. Kala ruhku merindu Sang Pencipta.”

“Katakanlah! Adakah yang lebih hebat dari-Nya? Siapakah yang dapat memberimu kebahagiaan walaupun hanya sesaat? Siapa yang dapat mengurniaimu kesenangan meskipun hanya sekejap? Sungguh.. Bukan kebahagiaan dan kesenangan yang kucari. Yang kuinginkan dariMu adalah Engkau sendiri Robby..”

“Kawan.. bersama tiap rinai doa, ada namamu diiring pinta. Semoga kita tetap bersama, meski dimana kita berada. Dan semoga Allah dihatimu, dihatiku, dalam tiap waktu.”

“Andai aku dikaruniai hati sepertinya hatinya, hati yang mengenal Allah SWT, hati yang mengerti tujuan hidup yang sesungguhnya. Hati yang pandai.. Pandai menjalin hubungan dengan Allah Penciptanya..”

“Ya Allah.. Dengan cintaMu padanya, cintailah kami..
Dengan rahmatMu padanya, rahmatilah kami..
Dengan bimbinganMu padanya, bimbinglah kami.. menuju jalannya..
Menuju surgaMu..”


REVIEW BUKU BIDADARI BUMI 9 KISAH WANITA SALEHAH


Subhanallah!! Hanya itu yang mampu aku katakan setelah membaca buku ini. Buku ini akhirnya berjaya ku miliki setelah sekian lama. Penulisan yang santai namun cukup menyentuh hati dan membuka minda. Syukran jazilan buat Ustazah Halimah Alaydrus atas penulisan buku ini. Moga rahmat Allah sentiasa bersamamu. Pengalaman bersamanya sewaktu Seminar Khadijah suatu ketika dahulu satu pengalaman berharga yang tidak dapat aku lupakan. Orangnya amat merendah diri, lembut tutur katanya dan tidak lokek dalam berkongsi ilmu. Moga diberikan peluang untuk berjumpa dan mendapat pengisian ilmu daripadanya bersama teman yang ku sayangi.

Muslimah pada zaman kini harus kuat, harus lebih tabah, harus punya ilmu dan harus lebih berani. Buku ini turut menekankan tentang cinta Allah dan Rasul, cinta yang selayaknya dikejar dan didambakan.
Pada diri seorang wanita itu ada kelembutan dalam ketegasannya, rasa kasih yang begitu tinggi, rasa survival yang amat kuat. Tanya pada diri wahai sekalian muslimah, siapa idola kita? Mengapa menjadikannya idola? Sudah "khatam" kah kita tentang sejarah Ummul Mukminin, Sayyidah Khadijah al-Kubro? Pertanyaan ini juga bukan bermaksud akulah yang terbaik, namun ada ketikanya kita sendiri harus menjentik diri dengan persoalan-persoalan ini untuk kita tidak terus alpa dan take for granted dengan apa yang kita ada.

Dahulu kedudukan wanita amat hina sekali, namun setelah datangnya Rasulullah SAW, kedudukan wanita diangkat setaraf dengan lelaki. Yang membezakan adalah iman dan taqwa.
Wanita itu sendiri diciptakan sebagai pententeram dan penyenang hati. Firman Allah SWT dalam Surah  Ar-Rum ayat ke-21 yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya.”

Begitu banyak keistimewaan wanita sehingga Allah SWT merakamkan surah yang khas di dalam Al-Quran untuk wanita.

Ya Allah, moga aku tergolong dalam wanita solehah yang sentiasa berusaha mencari keredhaanMu dalam meraih syurgaMu..


Konvokesyen Syawal 1432H


Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahukabar!!
Syukur padaMu Ya Allah atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku, namun seberapa kerap aku melafazkan syukur tatkala musibah datang melanda? Bukankah itu juga tanda kasih sayangMu?? Ampuni aku ya Allah.

.Ramadhan bulan untuk memperoleh DIPLOMA SABAR, IJAZAH TAQWA DAN PHD IMAN.

Alhamdulillah, kita telah berada pada Syawal yang ke-12. Syawal merupakan hari konvokesyen buat kita setelah sebulan berada dalam Akademi Ramadhan. Namun diri masih merindui Ramadhan. Moga masih dipanjangkan usia untuk berjumpa Ramadhan, bulan rahmat yang penuh keberkatan yang akan datang. InsyaAllah..
Syawal merupakan anugerah dan rahmat buat umat Muhammad.

Anas menceritakan: Selepas Rasulullah tiba di Madinah, beliau mendapati penduduk Madinah mempunyai dua hari yang mereka raikannya pada zaman Jahiliah. Lalu beliau berkata:
“Aku sampai kepada kamu semua dan aku dapati dua hari yang kamu semua raikannya pada zaman Jahiliah. Allah menggantikannya bagi kamu dengan dua hari yang lebih baik daripadanya: Hari Raya Korban dan Aidilfitri.”
(Direkodkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Nasaie)

Ali Hasan al-Halabi di dalam bukunya Ahkam al-Idyain menukilkan komentar Syeikh Ahmad Abdul Rahman al-Banna: “Ini kerana Aidilfitri dan Hari Raya Korban ini adalah syariat Allah, dipilih buat makhluk ciptaanNya.

Alhamdulillah, aku diberi peluang pada tahun ini untuk berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan. Walaupun diuji kesakitan pada akhir Ramadhan, namun Along sentiasa mengingatkan bahawa itu tanda rahmat kasihNya. Syukran Along. Alhamdulillah, berjaya mencapai target dalam tilawah Al-Quran dan berusaha mengekalkannya dan meningkatkan target untuk Ramadhan yang akan datang.

            Abu Umamah melaporkan, beliau mendengar Rasulullah berkata:
“Baca Al-Quran, kerana ia datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada tuannya.” (Direkodkan oleh Muslim)

Alhamdulillah, dapat menyambut lebaran bersama keluarga tercinta dan juga keluarga Along buat kali pertama. Tidak terungkap dengan kata-kata nikmat pertemuan dan kasih itu. Terima kasih ya Allah atas nikmat kasihMu kepada kami. Aku menyayangi mereka keranaMu. Juga pada lebaran kali ini aku dapat menyambutnya bersama sahabat yang sekian lama tidak bersua. Indahnya ukhuwwah itu apabila dapat dikongsi, bukan?
Kembali ke bumi Miri dengan harapan dan semangat baru, meneruskan perjuangan yang masih belum selesai di sini. Terima kasih Along atas “bekalan” yang diberikan. Mewarnai kanvas kehidupan sebagai guru pelatih yang masih berbaki selama 2 tahun lagi, insyaAllah..

Moga aku dapat melengkapkan puasa 6 Syawal pada tahun ini bersama sahabat-sahabat di sini. Assignments yang menuntut haknya untuk disiapkan, juga pelbagai aktiviti yang moga melengkapkan lagi diri sebagai bakal guru dan khalifah yang yang whole-rounded. Moga doa mak dan bapa di rumah sentiasa mengiringi untuk anaknya di sini, juga doa dari Along sebagai teman hati, juga doa daripada sahabat-sahabat sekalian.

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun. (Hadis riwayat Muslim).

Di kesempatan ini aku ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN atas segala kesilapan, keterlanjuran kata dan perbuatan selama ini. Kerana aku adalah manusia yang masih perlukan bimbingan dan teguran daripada kalian.

Moga didikan dan amalan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini berterusan hingga bulan-bulan seterusnya.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1432H

Keluargaku :)

Sahabat lama  (Nurfatrina, Tantiana n Aku) :)