Ahlan Wa Sahlan

Friday, June 10, 2011

Ceritera Manusia


Dinihari itu
Mata menyoroti sekujur tubuh tua
Menongkah rintik hujan
Tekun mengutip tin kosong di tepi jalanan.
Tengah hari itu
Melihat anak kecil
Terpinga-pinga berjalan di celahan manusia
Yang hanya memikirkan mengisi perut yang lapar
Malam kini menjelma
Berpegangan tangan menuju ke pondok usang,
Teduhan setia dari putaran alam,
Fikiran mencongak, “Apakah ada rezeki hari esok untuk kami?”

Di sisi lain pandangan kehidupan,
Manusia terkinja, lemas dalam lautan hiburan, kebendaan
Menindas tanpa ada belas ihsan,
Berlebihan dalam urusan duniawi,
Ibarat robot, putaran kehidupan yang sama,
Itukah kepuasan yang dicari?
Ke mana hilangnya ihsan manusiawi?
Terkedu tanpa jawapan.


Wahai insan, ingatlah!
Kehidupan di dunia ini ladang amalmu,
Semaikan benih kebajikan dan kebaikan,
Sebagai saham yang kau tuai hasilnya di akhirat nanti.
Kita ini hambaNYA,
Kita ini khalifah terpilih,
Apa milikmu, semuanya dari Tuhanmu.
Wahai insan,
Janganlah terlelap dek candu dunia,
Hulurkan tangan ringankan beban saudaramu,
Untuk melihat mereka kembali tersenyum,
Melihat barisan anak-anak menjadi pencinta ilmu,
Demi izzah Islam untuk kembali bersinar,
Semuanya mampu,
Bila ada tangan yang menghulur seikhlasnya.

Catatan:
Alhamdulillah, aku telah dijemput untuk mendeklasmasikan sajak pada Majlis Makan Amal yang dianjurkan oleh PERKIM  yang turut dihadiri oleh Pengerusi PERKIM Cawangan Sarawak iaitu Datin Hanifah Taib Al-Asree dan tetamu-tetamu kehormat yang lain.  Oleh itu, sajak ini khas dicipta untuk majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment