Ahlan Wa Sahlan

Tuesday, August 23, 2011

Aku dan Ramadhan


Hari ini tanggal 23 Ogos 2011 bersamaan 23 Ramadhan 1432H, Ramadhan Kareem kini hampir ke penghujungnya.

Alhamdulillah segala puji dan kesyukuran dipanjatkan selayaknya kepada pencipta yang agung, Allah SWT atas nikmat usia ini dan nikmat kesihatan dalam melewati Ramadhan pada tahun ini. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, moga kita mendapat berkat atas selawat yang dilafazkan untuk baginda.

Aku bukanlah orang yang hebat dalam berkata-kata. Segala bait-bait penulisan ini masih punya banyak kekurangan. Mohon ditegur segala kekurangan agar mampu ku jadikan penulisan ini sebagai satu medium dakwah kepada diri dan orang di sekelilingku. InsyaAllah.

Dalam usia yang menginjak 21 tahun ini, pelbagai dugaan yang datang melanda. Pelbagai gelojak perasaan yang hadir. Kadang-kadang aku tidak mampu mengawalnya. Semua ini satu proses yang harus ku lalui dalam mematangkan kehidupan aku sebagai seorang anak, teman, pelajar, sahabat, mad’u dan juga da’ie. Syukran jazilan buat teman yang sentiasa bersabar dengan diriku, yang tidak jemu memberikan nasihat. Uhibbuki fillah.

Bagaimana check list kita untuk Ramadhan tahun ini: Solat di awal waktu? Usrah? Qiam? Sedekah? Tarawikh? Urusan disiapkan on time? Tadarus? Moga kelelahan pada bulan Ramadhan ini tidak dijadikan alasan bagi kita sebagai seorang Muslim untuk tidak bersemangat dan menyebabkan  prestasi urusan seharian kita menurun.

Dari Ummu Mukminin Aisyah R.A, Nabi Muhammad SAW  pernah bersabda: "Adalah Rasululluh SAW apabila masuk (tanggal) sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW bersedih dan bersiap-siap menghidupkan (beramal) pada malam hari. (Riwayat Mutafaqun Alaih)

Nabi Muhammad SAW, Nabi agung yang dijanjikan syurga sendiri oleh Allah SWT, berusaha untuk mencari malam ini, apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang serba kekurangan. Ayuh, pada Ramadhan yang hampir melabuhkan tirainya ini, gigihkan diri dalam mencari malam Lailatul Qadar, malam yang terbaik daripada 1000 bulan. Munajat dan pengharapan pada khalik yang agung.

Doaku:
Ya Allahu Ya Salam, kau lanjutkan usia kedua ibu bapaku, berikan mereka kesihatan yang baik dalam mencari rezeki membesarkan kami adik-beradik, moga kefahaman Islam itu akan bersinar juga dalam keluarga kami.

Ya Allah, moga aku tetap istiqamah dan tsabat dalam medan dakwah ini. Ya Allahu Ya Aliim, berikanlah aku kefahaman dan hafalan para nabi dalam menimba lautan ilmuMU untuk menuju syurgaMu yang tertinggi. Ya Rahman, walau ku tak layak dan hanya mendambakannya, sungguh aku berusaha ke arah syurga FirdausMu. Ya Allahu Ya Fatah, jangan kau bebani aku dengan sesuatu yang tidak mampu aku pikul.

Ya Allahu Ya Rahman, kurniakan daku rasa cinta dan kasihMu untuk ku santuni dan kongsi bersama mereka di luar sana. Janganlah resah rinduku pada manusia melebihi rinduku padaMu.

Ya Allahu Ya Rahim, pelihara kasih kami ini dalam rahmatMu. Moga nanti mereka juga akan fahami kasih kami. Jernihkanlah segala kekeruhan, tautkan hati kami walau seringkali berjauhan, doa kami sentiasa mengiringi.

Ya Allahu Ya Ghaffar, ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa adikku, dosa temanku, dosa ahli keluargaku, dosa guru-guruku, dosa sahabat-sahabatku serta dosa orang-orang yang kusayangi. SyurgaMu yang ditagih namun amal tidak selayaknya ke sana, oleh itu berikanlah ku kekuatan dan rahmatMu.

Ya Allahu Ya Samii’, dengarkanlah rayuan hambaMu ini. Moga aku sentiasa berlapang dada dengan apa yang Engkau telah takdirkan buatku, moga kesabaran dan kasih ibunda Khadijah mampu ku jadikan teladan, kecerdikan Aisyah mampu ku warisi. Sampaikanlah hajatku bersama orang yang ku sayangi untuk ke Baitullah dan bumi anbia Palestin. Perkenankanlah permintaan hambaMu ini Ya Allah, perkenankanlah Ya Allah. Hanya kepadaMu tempat ku bergantung harap dan pengharapan ku sandarkan padaMu. Amin yarabbal alamin







No comments:

Post a Comment