Ahlan Wa Sahlan

Saturday, September 10, 2011

Konvokesyen Syawal 1432H


Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahukabar!!
Syukur padaMu Ya Allah atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku, namun seberapa kerap aku melafazkan syukur tatkala musibah datang melanda? Bukankah itu juga tanda kasih sayangMu?? Ampuni aku ya Allah.

.Ramadhan bulan untuk memperoleh DIPLOMA SABAR, IJAZAH TAQWA DAN PHD IMAN.

Alhamdulillah, kita telah berada pada Syawal yang ke-12. Syawal merupakan hari konvokesyen buat kita setelah sebulan berada dalam Akademi Ramadhan. Namun diri masih merindui Ramadhan. Moga masih dipanjangkan usia untuk berjumpa Ramadhan, bulan rahmat yang penuh keberkatan yang akan datang. InsyaAllah..
Syawal merupakan anugerah dan rahmat buat umat Muhammad.

Anas menceritakan: Selepas Rasulullah tiba di Madinah, beliau mendapati penduduk Madinah mempunyai dua hari yang mereka raikannya pada zaman Jahiliah. Lalu beliau berkata:
“Aku sampai kepada kamu semua dan aku dapati dua hari yang kamu semua raikannya pada zaman Jahiliah. Allah menggantikannya bagi kamu dengan dua hari yang lebih baik daripadanya: Hari Raya Korban dan Aidilfitri.”
(Direkodkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Nasaie)

Ali Hasan al-Halabi di dalam bukunya Ahkam al-Idyain menukilkan komentar Syeikh Ahmad Abdul Rahman al-Banna: “Ini kerana Aidilfitri dan Hari Raya Korban ini adalah syariat Allah, dipilih buat makhluk ciptaanNya.

Alhamdulillah, aku diberi peluang pada tahun ini untuk berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan. Walaupun diuji kesakitan pada akhir Ramadhan, namun Along sentiasa mengingatkan bahawa itu tanda rahmat kasihNya. Syukran Along. Alhamdulillah, berjaya mencapai target dalam tilawah Al-Quran dan berusaha mengekalkannya dan meningkatkan target untuk Ramadhan yang akan datang.

            Abu Umamah melaporkan, beliau mendengar Rasulullah berkata:
“Baca Al-Quran, kerana ia datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada tuannya.” (Direkodkan oleh Muslim)

Alhamdulillah, dapat menyambut lebaran bersama keluarga tercinta dan juga keluarga Along buat kali pertama. Tidak terungkap dengan kata-kata nikmat pertemuan dan kasih itu. Terima kasih ya Allah atas nikmat kasihMu kepada kami. Aku menyayangi mereka keranaMu. Juga pada lebaran kali ini aku dapat menyambutnya bersama sahabat yang sekian lama tidak bersua. Indahnya ukhuwwah itu apabila dapat dikongsi, bukan?
Kembali ke bumi Miri dengan harapan dan semangat baru, meneruskan perjuangan yang masih belum selesai di sini. Terima kasih Along atas “bekalan” yang diberikan. Mewarnai kanvas kehidupan sebagai guru pelatih yang masih berbaki selama 2 tahun lagi, insyaAllah..

Moga aku dapat melengkapkan puasa 6 Syawal pada tahun ini bersama sahabat-sahabat di sini. Assignments yang menuntut haknya untuk disiapkan, juga pelbagai aktiviti yang moga melengkapkan lagi diri sebagai bakal guru dan khalifah yang yang whole-rounded. Moga doa mak dan bapa di rumah sentiasa mengiringi untuk anaknya di sini, juga doa dari Along sebagai teman hati, juga doa daripada sahabat-sahabat sekalian.

Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun. (Hadis riwayat Muslim).

Di kesempatan ini aku ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN atas segala kesilapan, keterlanjuran kata dan perbuatan selama ini. Kerana aku adalah manusia yang masih perlukan bimbingan dan teguran daripada kalian.

Moga didikan dan amalan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan ini berterusan hingga bulan-bulan seterusnya.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1432H

Keluargaku :)

Sahabat lama  (Nurfatrina, Tantiana n Aku) :)



No comments:

Post a Comment