Ahlan Wa Sahlan

Sunday, November 27, 2011

Maal Hijrah 1433H

Mengimbau kembali pahit maung yang ditempuhi oleh kekasih agung, Nabi Muhammad SAW hingga saat penghijrahan baginda ke Makkah. Pada tahun sebelum penghijrahan tersebut, baginda juga mengalami saat-saat sedih di mana bapa saudara baginda (Abu Talib) yang amat baginda sayangi, bapa saudara yang sentiasa mempertahankan baginda daripada pihak kafir Quraisy dan isteri tercinta Sayyidah Khadijah telah meninggal dunia. Kedua-duanya meninggal pada tahun yang sama. Tahun tersebut telah dinamakan “Tahun Dukacita”. Bayangkan sajalah orang-orang yang rapat dan menjadi tulang belakang dalam perjuangan baginda pergi buat selamanya.

Namun, Allah SWT mengubati kesedihan baginda dengan peristiwa Israk dan Mikraj dan seterusnya keizinan untuk berhijrah ke Madinah dalam usaha menyebarluaskan agama Islam kerana penduduk di Madinah amat menanti-nantikan kedatangan nabi terakhir itu ke tempat mereka.

Jika di telusuri dugaan yang baginda hadapi dalam usaha menyebarkan agama Allah ini amat banyak. Selama 3 tahun baginda berdakwah secara sulit, terdapat 30 orang yang memeluk Islam. Rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam telah menjadi markas Rasulullah SAW mengajarkan ayat-ayat Al-Quranul Karim yang diterimanya dan juga hukum-hakam dan syariat agama yang telah diturunkan pada waktu itu, setelah mendapat perintah daripada Allah SWT untuk menyebarkan secara terang-terangan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat ke-94 yang bermaksud:
Oleh itu, sampaikanlah secara terang-terangan apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.

Setelah kelantangan baginda menyeru kaum Quraisy untuk memeluk Islam dan meninggalkan amalan penyembahan berhala secara terang-terangan di bukit Sofa, orang musyrik semakin hebat menyakiti Rasulullah SAW dan para sahabat. Ada yang mati diseksa dan ada yang buta. Kaum musyrikin Quraisy turut menawarkan harta, pangkat dan wanita asalkan baginda meninggalkan dakwah baginda. Namun semua tawaran itu ditolak oleh baginda. Tidak cukup dengan seksaan, pemboikotan (berjual beli, berkahwin dan bergaul) turut dilancarkan oleh pihak musyrikin Quraisy.

Hijrah ke Habsyah buat kali kedua akhirnya disertai 83 orang lelaki dan 11 orang wanita berbanding hijrah pertama yang hanya sebanyak 12 orang lelaki dan 4 orang wanita. Ini setelah mendengar berita pengislaman Umar.
Aku amat tersentuh apabila baginda telah tercedera pada kedua-dua kaki baginda setelah dilontar dengan batu oleh kanak-kanak dari kalangan Bani Thaqif. Sewaktu berlindung di sebuah kebun, baginda bedoa dengan penuh khusyuk kepada Allah SWT, yang bermaksud:

“Ya Allah, aku mengadu kepadaMu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kamulah Tuhan golongan yang lemah dan Kamu juga Tuhanku. Kepada siapa Kamu serahkan aku? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripadaMu lebih melapangkan aku. Aku berlindung dengan cahaya wajahMu yang menyinari kegelapan serta memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada kemarahanMu atau kemurkaanMu terkena kepadaku. Kamu berhak untuk mencela aku sehingga Kamu redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan denganMu.”

Begitu tegar mereka menyakiti insan mulia ini. Namun balasan Allah SWT pasti setimpal kerana tidak mendustakan agama suci Allah ini.
Peristiwa hijrah ke Madinah menyaksikan beberapa orang yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan hijrah itu sendiri. Dari sinilah kita melihat bahawa Rasulullah SAW amat mementingkan kerja berpasukan kerana terdapat kekuatan dan potensi yang lebih untuk digembeleng bersama.

Pasti kita tertanya, mengapa tidak dihantarkan saja kemenangan, pengislaman dan hijrah secara langsung tatkala Rasulullah SAW menerima ajaran Islam? Perancangan Allah SWT itu maha cantik, tidak nama dinamakan perjuangan jika segalanya mudah dan kerana syurga itu amat tinggi nilainya. Jadi untuk menjadi penghuninya, haruslah melalui ujian yang benar-benar pedih kerana hadiah syurga itu amat indah J Subhanallah!!!
Antara individu yang berperanan di sebalik peristiwa hijrah ini adalah Abu Bakar as-Siddiq, sahabat karib baginda yang menemani baginda sepanjang perjalanan hijrah. Sewaktu di Gua Thur kita lihat bagaimana beliau amat risaukan keselamatan baginda Rasulullah SAW tatkla musyrikin Quraisy berada di pintu masuk gua. Baginda menenangkan Abu Bakar dengan bersabda yang bermaksud:

“Wahai Abu Bakar, kamu sangka kita berdua, sedangkan Allah adalah yang ketiga”.

Selain itu kita dapat lihat kasih Abu Bakar kepada baginda Rasulullah SAW apabila beliau menutup lubang yang ada pada gua tersebut untuk mengelakkan dimasuki ular. Beliau menahan kesakitan daripada dipatuk ular sedangkan pada masa itu baginda Rasulullah SAW tidur di riba beliau dan hanya tersedar setelah air mata Abu Bakar menitis di mukanya kerana menahan kesakitan. Sehingga begitu sekali pengorbanan seorang SAHABAT.

Ali r.a yang masih kecil pada ketika itu, tanpa banyak soal, tanpa ada rasa takut, menggantikan tempat tidur baginda Rasulullah SAW ketika malam hijrah. Ali r.a rela nyawanya melayang asalkan pendakwah dan Islam itu selamat dan dapat disebarkan.

Peranan anak lelaki kepada Abu Bakar, iaitu Abdullah bin Abu Bakar (seorang pemuda yang berpengetahuan, mahir, peka dan cepat memahami) yang menjadi pengintip kepada bapanya dan baginda Rasulullah SAW. Pada pagi hari beliau berada di kota Makkah untuk mendengar segala perancangan jahat musyrikin Quraisy dalam usaha membunuh baginda Rasulullah SAW, lalu dihafalnya. Kemudian, pada petang hari dia mengkhabarkan perancangan yang didengarinya.

Peranan anak perempuan kepada Abu Bakar juga tidak kurang hebatnya iaitu Asma’ dan Aishah dalam menyediakan bekalan makanan untuk mereka berdua. Asma’ turut digelar sebagai Zat an-Nitoqain (perempuan yang mempunyai dua tali ikat pinggang) kerana memotong sebahagian daripada tali ikat pinggangnya untuk mengikat karung makanan.

Tidak kira golongan belia, remaja, lelaki dan wanita, semuanya memainkan peranan yang penting dalam peristiwa hijrah ini. Dr Yusuf al-Qardhawi ada mengatakan, jika ingin melihat jatuh bangunnya sesebuah negara, lihatlah pada pemuda pemudinya. Memang benar, kerana golongan muda inilah pelapis generasi masa hadapan, yang membantu mencorakkan kepimpinan Islam untuk kembali gah.

Di mana pengganti Sultan Muhammad al-Fateh yang pada usia 24 tahun berjaya menakluki Kota Constantinapole yang selama 800 tahun tidak berjaya ditakluki??
Di mana pengganti Imam as-Syafiee yang pada usia 10 tahun telah memberikan pengajian kepada orang-orang yang berada di Masjidil Haram??

Persoalan yang juga menghantuk diri aku sendiri. Tidak dinafikan kekecewaan tatkala melihat remaja di luar yang bercouple, melepak, berpakaian yang entah apa-apa, berfacebooking, dan yang sewaktu dengannya. Bukankah setiap anak itu lahir dalam keadaan yang suci, ibu bapa merekalah yang mencorakkan sama ada mereka Yahudi, Nasrani, atau Majusi.

Wajarkah diletakkan kesalahan anak-anak ini pada ibu bapa semata-mata? Ibu bapa yang kita sedia maklum mencari rezeki untuk keluarga, juga turut dipengaruhi latar belakang dan pendidikan agama mereka sebelum ini. Malah ada ibu bapa yang bersekolah di sekolah “Saint” seperti yang kita tahu tanda salib ada di mana-mana, malah bacaan Bible awal pagi. Belum lagi hiburan yang melampau-lampau. Allahu!!
Ini tanggungjawab kita. Menuntut ilmu itu adalah satu kefardhuan. Tanggungjawab kita dalam mengubah diri kepada yang lebih baik dari tahun ke tahun. Daripada jahil kepada berilmu. Alangkah rugi apabila saban tahun, rutin kehidupannya masih sama. Bagi yang bekerja; bangun pagi – breakfast – pergi ke pejabat – lunch – balik kerja – tonton tv – tidur. Bagi yang bekerja; bangun pagi – breakfast – pergi sekolah – lunch – aktiviti sekolah – bermain – tuisyen – tidur. Begitukah rutin hidup kita sebagai Muslim? Berada pada comfort zone yang entah bila kesudahannya.
Back to basics. Ingat kembali tujuan penciptaan kita di muka bumi ini, tidak lain dan tidak bukan, sebagai KHALIFAH !!

Firman Allah SWT dalam surah az-Dzariyat ayat ke-56 yang bermaksud:
“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku”.

Ibadat tidak hanya tertakluk kepada solat, puasa, zakat, perkahwinan semata-mata. Setiap apa yang kita lakukakan dengan niat kerana ALLAH SWT itulah IBADAT. Hatta hendak buang air besar pun 1 ibadat. Kenapa? Apabila kita menahan air besar, toksik-toksik akan naik dan menyebabkan kita berasa tidak selesa, bahkan mampukah untuk khusyuk dalam solat?? Fikir-fikirkanlah.

Aku tahu bercakap memanglah senang. Aku bercakap melalui pengalaman, pembacaan dan refleksi. Beginilah, untuk bercakap perihal berubah:

Kalau bukan kita, siapa lagi?
Kalau bukan sekarang, bila lagi?

Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat ke-11 yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.

Yakinkah kita untuk hidup sesaat lagi selepas nafas yang baru kita sedut sekarang? Yakin?

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat ke-34 yang bermaksud:
Dan setiap umat mempunyai ajal (batas waktu). Apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan sesaat pun.

Aku juga bukanlah orang yang terbaik bercakap perihal berubah, perihal ilmu. Namun aku di sini juga masih berusaha memperbaiki kelompangan diri yang amat, amat banyak ini. Adakalanya aku jatuh tersungkur, aku cuba bangun sekalipun terpaksa merangkak.

Salam Maal Hijrah. Moga kita sama-sama mengambil iktibar dan semangat daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai pemangkin usaha berterusan hingga saat bertemu dengan Allah SWT. Moga Allah SWT terus berikan kekuatan untuk kita sama-sama mengislahkan diri, keluarga, sahabat dan orang-orang di sekeliing kita. Impian kita semestinya happy ending bukan? J

Jadikanlah Al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber rujukan dan pedoman hidup.
Jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai role model yang ulung dalam setiap lapangan kehidupan kita
Doa, pergantungan dan harapan, selayaknya disandarkan kepada pencipta kita yang Maha Berkuasa, Allah SWT.

Allahukabar!! Allahukabar!! Allahuakbar!!
Allahumma solli ala sayyidina muhammad!!
Hadiahkan al-fatihah buat rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW, moga kita dikumpulkan bersama orang-orang yang mengasihi baginda di yaumul akhirat kelak.


No comments:

Post a Comment