Ahlan Wa Sahlan

Wednesday, February 2, 2011

Dulu dan kini, itu AKU


Menyelusuri denai kehidupan
Yang penuh fatamorgana
Aku pernah tersungkur, apabila;
Terbuai dek cinta lelaki yang belum pasti halal buatku,
Terleka dengan  hiburan yang buatkan aku lupa tanggungjawab sebenarku,
Cemburu, hasad dengki, sombong mula melakar rentak di hati.

Jatuh itu sakit,
Hati yang tertoreh namun tak berdarah,
Rimbunan air mata mengalir tanpa tepian,
Pelangi, rembulan, bintang dan mentari enggan lagi tersenyum padaku.

Tersentak bila diri ini disapa bisikan syahdu,
Terasa kehangatan, kelembutan dan ketenangan
Yang tidak pernah ku rasakan sebelum ini, walau sekali cuma.

Tanganku dipimpin, langkah ku atur walau berdikit,
Ku ingin kuntuman itu kembali berbunga,
Keharumannya dirasai seluruh isi alam,
Ku hitung juga tasbih cinta ini, air mata kini mengalir kerana kasih sayangMU,
Sentuhlah hati ini, moga tiada teka-teki lagi,
Kerana inilah jalan terbaik,
Setelah istikharah cinta dan tahajud rindu.
Terlihat sinar antara persimpangan itu.
Akan ku teruskan walau pincang langkah ini.


Catatan:
Assalammualaikum wbt dan salam kasih sayang. Alhamdulillah, Allah SWT masih berikan aku peluang untuk bernafas di muka bumiNYA pada hari ini untuk terus beribadah, menginsafi kekurangan dan kelemahan diri, dan memperbaiki kelompangan-kelompangan yang ada. Selawat dan salam buat rasul junjungan mulia, Rasulullah SAW, kekasih yang dicintai dan dirindui.
  
Setiap manusia punya sejarah silam tersendiri. Begitu juga aku. Untuk bangkit lagi memang payah, perit yang teramat. Alhamdulillah, Allah SWT masih sayangkan aku. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sentiasa bersama dan membimbing aku ke jalan untuk menemui cinta hakiki. Aku bukan yang terbaik dan selayaknya untuk bercakap hal perubahan, sebab kadang-kadang aku pun “hu ha, hu ha” juga.  Aku akui aku belum dapat berubah secara total, namun aku masih berusaha untuk kikis karat-karat jahiliah dalam diri dan hati ini.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud “... Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri ..”

Kalau tidak sekarang, bila?? Kalau bukan aku, siapa?? InsyaAllah, bila kita sentiasa berada dalam jamaah, kita akan sering diperingatkan tiap kali kita terlupa dan akan disedarkan bila terlalai.

Menjadi perawan suci adalah cita-cita semua gadis;
Menjadi wanita solehah adalah cita-cita wanita bahagia.

Wallahualam. Wassalam wbt..


No comments:

Post a Comment