Ahlan Wa Sahlan

Tuesday, February 15, 2011

MENGENALI PERIBADI RASULULLAH SAW

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah kita meneliti sedikit sebanyak hadith-hadith yang berkaitan dengan diri peribadi Nabi Muhammad SAW, semoga ianya bermanfaat untuk kita mengenali dengan lebih dekat dan seterusnya menjadikan baginda sebagai contoh tauladan dan ikutan kita sepanjang zaman hingga ke hari Kiamat.

CIRI-CIRI FIZIKAL RASULULLAH SAW

Hasan Bin Ali meriwayatkan :
"Saya pernah bertanya kepada bapa saudara saya, Hindun Ibnu Abi Halah (yang sangat pandai
menggambarkan sesuatu) tentang ciri-ciri fizikal Rasulullah SAW. Saya menginginkan agar ia menggambarkan sifat-sifat baginda yang mirip dengan sifat-sifat saya. Hindun menjawab,
"Tubuh Rasulullah SAW besar. Wajah baginda bersinar seperti bulan purnama. Bentuk tubuh baginda lebih tinggi daripada ukuran tubuh yang biasa serta lebih pendek daripada ukuran tubuh orang yang jangkung dan kerempeng.

Kepala baginda besar dan rambut beliau ikal. Apabila rambut baginda mulai memanjang, maka baginda  pun menyisirnya. Jika tidak (disisir), maka rambut beliau ketika terurai, tidak pernah melebihi bahagian bawah daun telinga baginda.

Kulit baginda cerah, putih kemerah-merahan. Dahi baginda lebar, bulu mata baginda melengkung dan panjang; kedua bulu matanya hamper bersambung. Di antara kedua bulu mata tersebut, terdapat urat yang timbul ketika baginda marah.

Baginda memiliki hidung yang mancung dengan bahagian atas yang bercahaya sehingga orang yang tidak memerhatikan dengan cermat akan mengira bahwa hidung baginda bengkok.

Janggut baginda lebat dan kedua pipi baginda datar. Mulut baginda lebar, antara gigi dan gigi baginda yang lain berjarak, dada baginda berbulu halus. Leher baginda jenjang dan indah.

Bentuk tubuh baginda bagus dan gemuk yang ideal. Perut baginda sama rata dengan dada. Dada baginda lebar. Tubuh antara dua bahu baginda juga lebar. Persendian tubuh baginda besar, sementara bahagian tubuh yang tidak berbulu nampak bercahaya. Di antara bahagian dada dan pusat baginda, terdapat bulu nipis yg nampak seperti garisan. Tetapi, kedua puting susu dan perut baginda tidak berbulu.

Tangan, bahu dan dada bahagian atas baginda berbulu nipis. Tangan baginda panjang, tapak tangan dan tapak kaki baginda tebal dan jari jemari baginda panjang. Di tengah-tengah tapak kaki baginda tidak menyentuh tanah. Kedua tapak kaki baginda halus sehingga airpun tidak melekat – air yang mengenainya langsung akan hilang, tanpa meninggalkan bekas.

Ketika berjalan, tubuh baginda bergoyang. Baginda berjalan dengan tenang dan dengan langkah yang lebar. Ketika baginda berjalan seakan-akan beliau sedang menuruni tanah yang landai.

Ketika menoleh, baginda menoleh (berbalik) dengan seluruh badan baginda. Baginda sering menundukkan pandangan –baginda lebih sering memandang ke bawah daripada mendongak ke atas.

Baginda selalu melihat sesuatu dengan penuh perhatian. Ketika berjalan bersama para sahabat, baginda selalu membiarkan mereka berjalan di depan, dan setiap kali bertemu dengan seseorang, baginda selalu mengucapkan salam terlebih dahulu." (HR Tirmizi, Ibnu Sa'ad, Baihaqi dan Ibnu Adi)

TANDA KENABIAN RASULULLAH SAW

Jabir Bin Samurah ra meriwayatkan :

"Saya melihat tanda kenabian di antara kedua bahu Rasulullah SAW iaitu daging berwarna merah sebesar telur burung merpati." (HR Tirmizi, Muslim dan Ahmad)

KERAPIAN RAMBUT RASULULLAH SAW
Abdullah Bin Mughaffal meriwayatkan :

"Rasulullah SAW melarang kami untuk merapikan rambut dgn berlebihan, kecuali hanya sesekali." (HR Tirmizi, Abu Daud, Nasa'i dan Ahmad)

UBAN RASULULLAH SAW

Anas Bin Malik meriwayatkan :

"Saya hanya dapat menemukan empat belas uban di rambut dan janggut Rasulullah SAW (HR Tirmizi dan Ahmad)

Ibnu Abbas meriwayatkan :

"Abu Bakar berkata kepada Rasulullah SAW,

'Wahai Rasulullah, anda telah beruban.' Maka beliau berkata dengan bersabda, 'Yang membuatku beruban adalah surah Hud, Al Waqiah, Al Mursalaat, An Naba' dan At Takwir." (HR Tirmizi, Ibnu Saad dan Hakim)

RASULULLAH SAW BERCELAK

Jabir Bin Abdulllah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda :

"Hendaklah kamu (memakai celak) dengan menggunakan batu celak (al – itsmid) ketika hendak tidur, sebab hal itu dapat memperjelas penglihatan dan menumbuhkan bulu (mata)." (HR Tirmizi dan Ibnu Adi)

PAKAIAN RASULULLAH SAW

Ummu Salamah meriwayatkan :

"Pakaian yang paling disukai oleh Rasulullah SAW adalah pakaian gamis." (HR Tirmizi dan Abu Dawud)

BENTUK SELIPAR RASULULLAH SAW

Qatadah meriwayatkan :

"Saya bertanya kpd Anas Bin Malik, 'Bagaimana bentuk selipar Rasulullah SAW? 'Anas Bin Malik menjawab, 'Sepasang selipar beliau menggunakan dua buah Qibal." (HR Tirmizi, Bukhari, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Qibal adalah pelana selipar, iaitu batas depan selipar berupa tali yg diletakkan di antara dua jari kaki.

SERBAN RASULULLAH SAW

Ibnu Umar meriwayatkan :

"Ketika Rasulullah SAW mengenakan serban, beliau menghulurkan serban itu di antara kedua bahu beliau." (HR Tirmizi dan Abu Syaikh)

BATASAN MEMAKAI KAIN SARUNG SEPERTI RASULULLAH SAW

Huzaifah Bin Al Yaman meriwayatkan :

"Rasulullah SAW memegang urat betisku atau betis baginda, lalu berkata, 'Inilah batas engkau mengenakan kain sarungmu. Jika engkau enggan (menggunakan kain sarung sebatas betis), maka janganlah kain sarung itu sampai menutupi kedua mata kakimu!'" (HR Tirmizi, Ibnu Majah, Nasa'i dan Ahmad)

CARA RASULULLAH SAW BARING

Abdullah Bin Zaid meriwayatkan :

"Ia (Abdullah) melihat Rasulullah SAW tidur terlentang di dalam masjid dan meletakkan salah satu kaki beliau di atas kaki yg lain." (HR Tirmizi, Bukhari dan Muslim)

CARA RASULULLAH SAW MAKAN

Ka'ab Bin Malik meriwayatkan :

"Rasulullah SAW makan dengan menggunakan ketiga jari baginda. Selesai makan, baginda menjilat ketiga-tiganya." (HR Tirmizi, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad)

GELAS MINUM RASULULLAH SAW

Tsabit meriwayatkan :

"Anas Bin Malik mengeluarkan sebuah gelas yang terbuat dari kayu keras dan dilapisi besi seraya berkata, ` Wahai Tsabit, ini adalah gelas Rasulullah SAW." (HR Tirmizi, Bukhari dan
Ahmad)

CARA RASULULLAH SAW MINUM

Abdullah Bin Amr Ibnul Ash meriwayatkan :

"Saya terkadang melihat Rasulullah minum dalam keadaan berdiri dan terkadang dalam keadaan
duduk." (HR Tirmizi dan Ahmad)

Anas Bin Malik meriwayatkan : "Rasulullah SAW menarik nafas (menjeda) tiga kali saat minum dari sebuah wadah. Beliau bersabda, `Hal ini lebih menyehatkan dan memuaskan." (HR Tirmizi,
Muslim, Abu Dawud, Nasa'i dan Ahmad)

RASULULLAH SAW SENTIASA MENGGUNAKAN MINYAK WANGI

Anas Bin Malik meriwayatkan :

"Rasulullah SAW memiliki sebotol minyak wangi yang dengannya beliau mengharumkan diri." (HR Tirmizi, Abu Dawud dan Ibnu Sa'ad)

CARA RASULULLAH SAW BERBICARA

Hasan Bin Ali meriwayatkan :

"Saya pernah bertanya kepada bapa saudaraku, Hindun bin Abu Halah yang sangat pandai menggambarkan sesuatu. Saya katakan kepadanya, `gambarkanlah kepadaku bagaimana cara Rasulullah saw berbicara!'

Ia berkata,

`Rasulullah adalah seorang yamg nampak selalu prihatin dan sentiasa berfikir. Baginda lebih banyak diam dan berbicara hanya seperlunya. Baginda memulai dan mengakhiri pembicaraan beliau dengan menyebut nama Allah. Ucapan baginda selalu padat, terperinci dan jelas, tidak lebih dan tidak kurang, tidak kasar dan tidak merendahkan.baginda selalu mensyukuri nikmat walaupun sedikit dan sama sekali tidak pernah mencelanya.

Baginda tidak pernah mencela dan memuji makanan. Urusan dunia beserta isinya tidak pernah membuatkan baginda marah. Jika kebenaran dilanggar, baginda tidak akan diam hingga kebenaran itu ditegakkan. Baginda juga tidak pernah marah dan tidak pula memperjuangkan kepentingan peribadi.

Ketika menunjuk sesuatu, baginda selalu menggunakan seluruh tangannya. Dalam keadaan ta'jub atau terkejut, baginda selalu membalik (tapak tangannya). Ketika berbicara terbiasa menggunakan
tangan untuk memperjelas perkataan dengan cara memukul-mukul tapak tangan kanan ke tapak jempol kiri.

Ketika marah, baginda berbalik dan berpaling. Ketika senang, baginda menundukkan pandangan. Ketawa baginda adalah senyuman dan gigi beliau nampak seperti butiran salji." (HR Tirmizi)

CARA RASULULLAH SAW BERGURAU

Hasan Al Bashri meriwayatkan :

"Seorang perempuan yang sudah tua mendatangi Rasulullah SAWseraya berkata, `Wahai Rasulullah, doakanlah agar saya boleh masuk syurga.'

Baginda menjawab,

`Wahai Ummu Fulan! Syurga tidak dihuni oleh perempuan yang sudah tua.'

Mendengar hal itu, perempuan itu segera bergegas sambil menangis. Maka Rasulullah berkata,

`Beritahukan kepada perempuan itu bahwa ia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua.

Allah swt berfirman, `Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari itu) secara langsung; lalu kami jadikan mereka perawan-perawan yang penuh cinta (dan) sebaya umurnya.' (QS Al Waqiah 35 -37)" (HR Tirmizi dan Thabrani)

CARA RASULULLAH SAW TIDUR
Aisyah meriwayatkan :

"Setiap kali hendak tidur pada malam hari, Rasulullah saw selalu menyatukan kedua tapak tangan beliau seraya membaca surah Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas, kemudian beliau meniup
kedua tapak tangan beliau. Setelah itu, dengan kedua tapak tangan itu, beliau mengusap bahagian tubuh yang terjangkau, dimulai dari kepala, wajah, sehingga bahagian depan tubuh beliau. Hal itu beliau lakukan tiga kali." (HR Tirmizi, Bukhari, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad dan Nasa'i)

TEMPAT TIDUR RASULULLAH SAW

Aisyah meriwayatkan :

"Sungguh, tempat tidur Rasulullah SAW terbuat dari kulit binatang yang dijejali sabut." (HR Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad)

AKHLAK RASULULLAH SAW

Aisyah meriwayatkan :

"Saya sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW berusaha untuk membalas kezaliman yang beliau terima, selama hal itu tidak menyebabkan larangan Allah dilanggar. Jika larangan Allah dilanggar, maka bagindalah yang paling keras mengungkapkan kemarahan. Jika baginda dihadapkan kepada dua pilihan, maka baginda akan memilih yang paling mudah selama (hal yg lebih mudah itu) tidak menyebabkan dosa." (HR Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad)

KEHIDUPAN RASULULLAH SAW

Aisyah meriwayatkan :

"Kami, keluarga Muhammad, pernah tidak menyalakan api (memasak makanan) selama sebulan penuh. Kami hanya makan kurma dan air." (HR Tirmizi, Ahmad, Ibnu Sa'ad dan Ibnu Hibban)

KEWAFATAN RASULULLAH SAW

Qasim Bin Muhammad meriwayatkan bahawa Aisyah berkata :

"Saya melihat Rasulullah SAW pada hari kewafatan baginda. Di sisi baginda, terdapat sebuah bejana yang berisi air. Baginda memasukkan tangan ke bejana itu, kemudian mengusap wajah dengan air, lalu berdoa, 'Ya Allah, bantulah aku mengatasi sakratulmaut." (HR Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad
dan Ibnu Sa'ad)

WARISAN RASULULLAH SAW

Amr Bin Harith meriwayatkan :

"Rasulullah SAW tidak meninggalkan sesuatu sebagai harta warisan selain sebilah pedang, seekor baghal dan sebidang tanah yang dijadikan sedekah." (HR Tirmizi, Ibnu Sa'ad dan Ahmad)

BERMIMPI MELIHAT RASULULLAH SAW
Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda :

"Barangsiapa melihatku di dalam mimpi, maka ia benar-benar telah melihat diriku kerana syaithan tidak dapat menyerupaiku." (HR Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah
dan Ahmad)

Ya Allah, tempatkanlah Nabi Muhammad saw di tempat yang tinggi di SyurgaMu di samping mendapat kelebihanMu. Angkatkanlah baginda ke makam yang terpuji yang telah Engkau janjikan. Kurniakanlah Syafaat NabiMu kepada kami di akhirat nanti dan kami juga mengharapkan untuk dapat minum di Telaga Al Kauthar yang diberikan kepada hambaMu yang mulia Muhammad Al Mustofa SAW.

Sumber: http://selangor.ikram.org.my

No comments:

Post a Comment