Ahlan Wa Sahlan

Tuesday, February 15, 2011

PENGHULU ANBIA+KEKASIH AGUNG+MR RIGHT = RASULULLAH SAW



Hari ini tanggal 12 Rabiulawal 1432H bersamaan 15 Februari 2011H, hari yang amat bermakna. Kelahiran insan teragung, membawa rahmat ke seluruh alam. Tanpanya, kita tidak akan dapat merasa nikmat Islam dan Iman yang kita kecapi hari ini. Insan teragung, kekasih hati yang teragung, tiada galang gantinya, Nabi Muhammad SAW. Bila aku membuat entri ini, berasa malu dan tertanya sendirian, sejauh manakah aku mengenali insan mulia ini? Sejauh manakah aku menyintainya? Sejauh manakah aku amalkan segala sunnahnya? Mungkin sebelum ini aku hanya mengetahui sejarah baginda melalui pembacaan untuk lulus dalam peperiksaan semata-mata, hanya kerana ingin mengikuti pertandingan public speaking semata-mata. Namun penghayatannya?? Aku beristighfar dan muhasabah diri agar aku masih belum terlambat lagi untuk aku kenali kekasih hati yang utama ini.  InsyaAllah dengan bermulanya penulisan tentang baginda Rasulullah SAW ini menjadi titik tolak untuk aku lebih mengenali baginda.

Baginda Rasulullah SAW telah dilahirkan di Makkah pada 12 Rabiulawal yang pada masa itu juga tentera bergajah Abrahah ingin menawan kota Makkah. Namun pertolongan Allah SWT datang juga dengan dihantarNYA burung ababil. Kisah ini telah dirakamkan dalam Surah Al-Fil (105:1-5) Baginda dilahirkan daripada kalangan Bani Hasyim yang merupakan kabilah Quraisy iaitu kabilah Arab yang paling mulia. Baginda membesar sebagai anak yatim. Bapa baginda, Abdullah telah meinggal dunia sewaktu baginda dalam bulan ke-2 kandungan. Manakala ibu baginda telah meninggal dunia sewaktu baginda berusia 6 tahun. Baginda terus dipelihara oleh datuk baginda iaitu Abdul Muttolib, namun setelah berumur 8 tahun penjagaan baginda diambil oleh oleh bapa saudaranya iaitu Abu Tolib sehingga baginda besar dan dewasa, setelah datuk baginda meninggal dunia. Keyatiman Rasulullah SAW ini telah dirakamkan dalam Surah Ad-Dhuha ayat ke-6, “Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan?”
Baginda menghabiskan masa kanak-kanaknya di perkampungan Bani Saad. Baginda membesar dengan tubuh yang kuat, jasmani yang sejahtera, lidah yang fasih, jiwa yang berani dan pandai menunggang kuda sejak kecil lagi.
Baginda juga telah mengembala kambing dengan bayaran upah beberapa qirat  (1/24 dinar). Aku tertarik dengan sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Semua nabi pernah mengembala kambing. Mereka bertanya, kamu juga begitu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Aku juga begitu”.

Bukti kecerdikan, kejujuran dan amanah baginda sewaktu perletakan semula Hajarul Aswad setelah dinding Kaabah retak dilanda banjir, juga sewaktu baginda diamanahkan untuk membawa harta dagangan Saidatina Khadijah yang sekali ganda lebih banyak diberikan oleh Saidatina Khadijah berbanding lelaki daripada kaumnya sendiri.

Rasulullah SAW sepatutnya dijadikan role model yang terbaik dan utama kepada kita semua dalam semua aspek. Islam itu terdiri daripada 3 kompenen utama iaitu akidah, ibadah dan akhlak. Apabila berbicara tentang akhlak, maka Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik. Ini terakam dalam Surah Al-Qalam(68:4) yang bermaksud: “Seseungguhnya engkau wahai Muhammad memiliki akhlak (adab) yang agung. Sebagai contohnya:
1.   Pemurah dan suka menderma
·         Baginda mencari rezeki sekadar keperluannya sahaja dan selebihnya diberikan kepada orang yang memerlukan.
·         Baginda juga akan memastikan setiap dirham yang dimilikinya disedekahkan kepada fakir miskin.
2.  Beradab ketika makan
·         Baginda akan membaca doa sebelum makan.
·         Baginda akan memastikan makanan yang terhidang panas disejukkan terlebih dahulu. Selari dengan sabda baginda yang bermaksud, Sesungguhnya Allah tidak memberi kita makanan daripada api. Sejukkanlah makanan itu terlebih dahulu”.
·         Baginda makan dengan tangan kanan.
·         Baginda mengambil lauk yang dekat dengan baginda.
·         Makanan kegemaran baginda adalah daging dan buah qana, manakala minuman kegemaran baginda adalah susu kambing.
3.  Berpakaian
·         Baginda menggemari pakaian berwarna putih.
·         Baginda akan membaca doa sebelum berpakaian. Setiap kali berpakaian, baginda akan memulakan dari sebelah kanan dan menanggalkan pakaian dari sebelah kiri.
4.  Tutur kata
·         Rasulullah SAW tidak suka bercakap kecuali jika ada perkara yang penting.
·         Tutur kata baginda manis, bersopan, padat dan ringkas membuatkan orang mudah memahami apa yang baginda ingin sampaikan.
·         Baginda hanya meninggikan suara apabila ingin mengatakan sesuatu yang benar dan hak sahaja.
5.  Sifat berlapang dada, ringan tulang dan pemaaf
·         Saidatina Aisyah menceritakan “Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.”
·         Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, “Belum ada sarapan ya Khumaira?” (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Saidatina Aisyah yang bererti ‘Wahai yang kemerah-merahan’. ‘Aisyah menjawab dengan agak serba salah, “Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.” Rasulullah SAW lantas berkata, “Jika begitu, aku puasa saja hari ini.” Tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.
6.  Ibadah
·         Nabi Muhammad SAW merupakan sekalian hamba yang khusyuk dan bersyukur. Ini dapat disaksikan daripada qiyam baginda dalam solat, qiyam yang penuh rasa kehambaan dan kesyukuran. Daripada Mughirah menceritakan: Nabi Muhammad SAW telah berdiri begitu lama dalam solatnya sehingga kedua kakinya menjadi bengkak. Ketika ditanya: “Bukankah Allah telah mengampuni segala dosamu yang terdahulu dan yang akan datang?” Bagind menjawab : “Tidak bolehkah aku menjadi hambaNYA yang bersyukur?” (Riwayat ak-Bukhari)
Bahkan solat orang jahil itu sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Betapa ramai orang yang mendirikan solat (tetapi) habuan daripada solatnya hanyalah penat lelah dan letih lesu jua. (Riwayat an-Nasa’i)
Persoalan kepada diri, sejauh manakah qiyam kita dalam solat kita? Astagfirullahalazim, moga kita tidak tergolong dalam golongan yang dinyatakan di atas. Bayangkan ketika tubuh berdiri tegak dan lurus menghadap Rabbul Izzati, bayangkanlah betapa dahsyatnya apabila sekalian hamba berdiri di hadapan Allah SWT pada Hari Kebangkitan kelak. Ya Allah, aku mohon bila tibanya saat itu, aku telah cukup bersedia menghadapMU dengan bekalan yang secukupnya.
·         Selain daripada ibadat fardhu, ibadat-ibadat sunat pun hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Antara solat sunat Rawatib yang hamper tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW adalah solat sunat rakaat sebelum solat fardhu Subuh yang juga dikenali sabgai solat sunat fajar. Daripada Aisyah, beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi tidak pernah meninggalkan empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat sebelum Subuh”. (Riwayat al-Bukhari)

Baginda Rasulullah SAW telah jatuh sakit pada bulan Safar tahun 11 hijrah. Pada ketika itu baginda berada di rumah Saidatina Aisyah. Dalam khutbah terakhir baginda, baginda telah berpesan:
“Wahai umatku, kita semua ada kekuasaan Allah SWT dan cinta kasihNYA. Kuwariskan dua perkara kepadamu, yang kamu tidak akan sesat jika berpegang dengannya, iaitu AL-Quran dan sunnahku. Barangsiapa mencintai sunnahku, bererti dia mencintai aku dan kelak orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama-samaku.”

Ketika malaikat Izrail ingin mencabut nyawa baginda, tubuh baginda bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. Ketika roh nabi sampai di pusat, Rasulullah SAW pun berkata: “Wahai Jibrail, alangkah dahsyatnya rasa mati”. Hinggakan Jibrail sendiri tidak sanggup melihat wajah baginda ketika sakaratulmaut. Dalam kesakitan itu baginda bersabda, “Ya Allah, dahsyatnya sakaratulmat ini. Timpakan saja semua seksa maut ini kepadaku. Jangan pada umatku.” “Ummati, ummati …” Baginda telah pergi meninggalkan kita. Namun cahaya Islam telah tersebar ke seluruh alam. Itulah rahmat dan barakah yang dibawa oleh baginda. Sejuta kesyukuran harus kita panjatkan kerana kita adalah umat Nabi Muhammad SAW, umat terbaik, umat yang terpilih. Lihatlah betapa kasihnya baginda kepada kita hinggakan pada saat rohnya diangkat ke langit pun baginda masih sempat menyebut nama kita..
Setakat ini dahulu coretanku mengenai Rasul junjungan yang utama, Nabi Muhammad SAW. Walau beribu kali dikatakan bahawa bagindalah kekasih utama, ternyata banyak lagi perihal dirinya aku belum kenali. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan dan semangat untuk aku terus mengenali dan menghayati sirah perjuangan baginda. Terasa hina diri ini, maka ampunilah dosa-dosaku ya Allah. Ya Allah, himpunkanlah aku bersama baginda di Hari Akhir nanti, bagindalah pemberi syafaat kepada umatnya. 

Sama-samalah kita berazam dalam mengamalkan segala sunnah baginda sedaya yang kita mampu. Moga Allah SWT akan menilai kesungguhan dan mujahadah ini dalam usaha mengenali baginda dan kerana kasihnya kita kepada Rasulullah SAW

“Sesungguhnya setiap seseorang itu akan dihimpunkan bersama orang yang dikasihinya.” (Maksud Hadith Rasulullah SAW)
Wallahualam, wassalam wbt. Salam Maulidur Rasul 1432H


3 comments:

  1. keep up your good work..i love it...:)

    ReplyDelete
  2. jzkk, insyaAllah, ana akn cuba teruskn :)

    ReplyDelete
  3. salam... teruskan menulis..
    background music ni tajuknye apa ye...

    ReplyDelete